CALON Bebas, R. Malarvizhi antara pengundi terawal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


CALON bebas R Malarvizhi teruja bukan saja bertanding, malah pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.

Suri rumah berusia 51 tahun itu tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di Rantau, 6.40 pagi dan berjaya menjadi pengundi pertama menerusi saluran empat.

Beliau mengakui teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang akan mewakili rakyat Rantau.

"Saya teruja menjadi pengundi pertama untuk saluran empat dan sanggup datang seawal 6.40 pagi.

"Proses pengundian berjalan lancar dengan bantuan daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)," katanya ketika ditemui di perkarangan SJKC Chung Hua, hari ini.

Bekas penyampai radio itu mengakui tidak mengundi dalam pilihan raya umum sebelum ini kerana menetap di Toronto, Kanada selama 25 tahun dan hanya pulang ke Malaysia tahun lalu.

Katanya, hasrat untuk mengundi tahun lalu juga tidak tertunai kerana SPR menggunakan senarai pengundi pada 2017.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:45 AM