IRA peserta tunggal wanita ekspedisi sempena sambutan Hari Polis ke-212 dan Dayungan Nostalgia Rekreasi Rinduku dan Rindumu.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


MUNTAH pada hari pertama ekspedisi, mengharungi laut bergelora dan angin kuat serta berkayak sambil diiringi ikan lumba-lumba menjadi sebahagian pengalaman yang dirasai peserta kayak wanita tunggal Dayungan Nostalgia Rekreasi Rinduku dan Rindumu, Koperal Ira Fazuha Ari, 31.

Ekspedisi sempena Sambutan Hari Polis Ke-212 itu digerakkan Persatuan Real Solo Kayaking dan disertai Persatuan Kenu Perak serta Persatuan Rekreasi dan Pendakian Perak diketuai pendayung solo negara, Nadzeri Mustaffa, 55.

Ira Fazuha bersama lima pendayung lelaki yang juga atlet kayak Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara lapan pendayung kayak yang tiba di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Kampung Acheh di sini, semalam.

Ketibaan mereka disambut Ketua Cawangan Khas Perak Datuk Mazlan Santarai selepas memulakan kembara selama tiga hari sejauh 150 kilometer (km) yang bermula pada Rabu lalu.

Ira Fazuha yang bertugas di Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, sebelum ini dia hanya menyertai maraton kayak mewakili PDRM dan kembara itu pengalaman pertamanya dalam menyertai ekspedisi di air itu.

“Maraton dan ekspedisi dua perkara yang sangat berbeza kerana pertandingan misi kita mahu menang, tetapi untuk ekspedisi ia lebih santai tetapi sangat mencabar dan menguji ketahanan mental serta fizikal.

“Alhamdulillah, setakat ini ekspedisi berjalan lancar berkat kerjasama berpasukan walaupun pada hari pertama kira-kira 10km dayungan, tiba-tiba saya muntah, tetapi masuk hari kedua sudah tiada masalah.

“Hari kedua juga lebih mencabar kerana keadaan laut yang agak bergelora dan angin kuat, tetapi perasaan takut dapat diatasi dan kayak juga dapat dikendali dengan baik mengikut teknik yang dipelajari,” katanya yang mula berkhidmat dalam PDRM sejak 2008.

Anak jati Pendang, Kedah itu berkata, sebagai wanita dia mahu mencabar diri dan membuktikan wanita juga mampu menyertai ekspedisi yang sebelum ini lebih didominasi lelaki.

“Wanita jangan takut untuk mencuba dan perlu memberanikan diri walaupun ia pengalaman pertama kita dan saya akui berbangga dengan diri sendiri yang berjaya menamatkan misi untuk sambutan hari polis ini, sekali gus mengharumkan nama PDRM juga,” katanya.

Sementara itu, Nadzeri berkata, ekspedisi itu membawa dua misi sempena Sambutan Hari Polis dan dayungan nostalgia yang menemukan mereka dengan jurulatih rekreasi pertama negara, Yusuf Abdullah selepas terpisah 33 tahun lalu.

Katanya, dia bersyukur ekspedisi itu berjalan lancar dan dapat menunjukkan penghargaan kepada PDRM dan PPM yang sentiasa bersedia dan aktif menjaga keselamatan aktiviti sukan air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:50 AM