LELAKI warga Sweden yang tersangkut pada tiang layar kapal miliknya di Jeti Marina Island, Lumut, dibawa turun dengan jentera skylift milik bomba, malam ini (gambar kanan). FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


BANTUAN pasukan bomba digunakan untuk membawa turun seorang lelaki warga Sweden yang tersangkut pada tiang layar kapal miliknya di Jeti Marina Island, Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, lelaki berusia 64 tahun itu tersangkut pada ketinggian dianggarkan 25 meter dan diselamatkan dengan menggunakan jentera skylift milik pasukan bomba Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.20 malam.

Beliau berkata, operasi menyelamat itu turut dibantu anggota bomba TLDM Pangkalan Lumut.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki warga asing itu sedang membaiki lampu di tiang layar kapal berkenaan.

“Namun peralatannya dikatakan rosak menyebabkan dia tidak dapat turun sebelum mendapatkan bantuan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bomba yang tiba di lokasi kemudian membawa mangsa turun dengan menggunakan skylift dan mangsa dilaporkan selamat serta tidak cedera.

Menurutnya, operasi diketuai Salahuddin Mokhtar itu tamat pada 8.41 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:04 PM