KENDERAAN yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


POLIS yang menyerbu sebuah rumah di Machang Bubok, Bukit Mertajam, awal minggu ini berjaya memberkas tiga lelaki bersama sejumlah dadah dan menemui empat kenderaan curi.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi Isnin lalu, polis pada mulanya melakukan operasi mengesan dadah di rumah itu sebelum menemui empat kenderaan termasuk sebuah lori yang dilaporkan hilang awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan dilakukan, semua suspek berusia 20-an sedang khayal dadah.

Katanya, ketika diperiksa mereka didapati memiliki pelbagai rekod kesalahan lalu membabitkan dadah dan jenayah.

“Hasil pemeriksaan polis menemui dua paket plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine, peralatan menghisap dadah dan peralatan mencuri kenderaan.

“Hasil soal siasat awal ke atas semua suspek, mereka mengaku terbabit dengan kes jenayah curi kenderaan sekitar daerah Seberang Perai Tengah.

“Polis kemudian berjaya menemui semula dua Proton Wira, sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori disembunyikan di situ ” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 6:53 PM