MOHAMAD (tiga dari kiri) bersama Abdul Hadi (dua dari kanan) serta pemimpin parti komponen BN pada program Ceramah Perdana di Taman Angsamas, Rembau, malam tadi. FOTO Adzlan Sidek.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


AGENDA penyatuan ummah dibawa UMNO dan PAS tidak akan meminggirkan kaum lain kerana semangat itu akan turut memelihara kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama antara dua parti ini perlu dilihat daripada sudut mengukuhkan rakyat negara ini supaya tidak terus dipisahkan dengan fahaman politik tidak matang.

Menurutnya, walaupun ‘bersengketa’ dengan UMNO sejak puluhan tahun lalu, agenda penyatuan ummah dilihat platform terbaik untuk menjernihkan hubungan itu.

“Memang dulu PAS dan UMNO bergaduh. Kena tahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan macam-macam lagi.

“Tapi bila memikirkan kembali agenda untuk penyatuan ummah, kami ketepikan perbalahan lama dan mulakan dengan semangat baru,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) di Taman Angsamas, Rembau, malam ini.

Ceramah itu turut dihadiri Pemangku Presiden UMNO yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kepimpinan UMNO dan parti komponen BN.

Mohamad dalam ucapannya berkata, rakyat harus terbuka dalam agenda penyatuan ummah kerana ia tidak meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

Beliau berkata, diharapkan penyatuan ummah itu turut dapat mengukuhkan blok pembangkang bagi berdepan pilihan raya akan datang.

“Sejarah baru tercipta malam ini apabila UMNO, BN dapat berada di atas satu pentas sama dengan PAS bagi merealisasikan kerjasama sebagai blok pembangkang yang efisyen.

“Penyatuan ini dapat menjadikan rakyat semua kaum kembali bersatu dan dalam masa sama politik dan ekonomi kembali stabil,” katanya.

PRK DUN Rantau akan berlangsung dalam tempoh 48 jam lagi menjadi penanda aras kepada BN sama ada mampu mengekalkan hatrik kemenangan selepas kembali menguasai Cameron Highlands dan Semenyih.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat bakal berdepan calon PH, Dr S Streram bersama dua calon bebas Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi, Sabtu ini.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 1:57 AM