PERODUA Alza yang ditinggalkan suspek. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


MUNGKIN merancang mahu melakukan jenayah? Itu yang menjadi persoalan apabila tiga lelaki yang menaiki Perodua Alza putih dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank di Jalan Chai Leng, Bukit Mertajam, malam tadi.

Malah, mereka yang terkejut dengan kehadiran polis memecut kenderaan dinaiki walaupun diminta supaya berhenti dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati Perodua Alza berkenaan dilaporkan hilang di Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, anggota unit peronda polis (MPV) pada mulanya terserempak dengan kenderaan terbabit di hadapan sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota MPV meminta pemandu kenderaan terbabit berhenti.

“Bagaimanapun, suspek memecut kenderaan dari Jalan Kurau menghala ke Jalan Baru, Perai dan anggota MPV terus mengejar mereka.

“Sebaik tiba di hadapan stesen minyak di Jalan Permatang Pauh, anggota cuba merapati kenderaan suspek namun dihimpit di kanan MPV,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, anggota MPV mengekori kenderaan suspek hingga ke Jalan Raja Uda, Butterworth sebelum mereka menghilangkan diri.

“Bagaimanapun, kenderaan dinaiki semua suspek itu ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah madrasah di Jalan Mohd Saad tidak lama kemudian.

“Namun, pemeriksaan mendapati semua suspek sudah melarikan diri dan siasatan lanjut kita menemui jaket, sebilah pisau dan sebuah topi keledar dalam but kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati Perodua Alza berkenaan dilaporkan hilang di Sungai Petani.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek sedang merancang untuk melakukan jenayah ketika berada dalam kenderaan terbabit di hadapan sebuah bank.

“Namun siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang berusaha memburu semua suspek terbabit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:17 PM