BOMBA berusaha memadamkan kebakaran deretan kedai di Jalan Pasar, Batu Gajah. FOTO/ Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


LAPAN kedai musnah terbakar, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan dalam kebakaran di Jalan Pasar, Batu Gajah, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pasukan bomba yang tiba ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kebakaran itu berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dan memusnahkan premis lain serta beberapa kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd Jamaluddin Mat Yusop, yang mengetuai operasi pemadaman berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran membabitkan 11 premis kedai satu tingkat itu jam 1.42 tengah hari.

“Sebanyak lapan kedai musnah terbakar 100 peratus, manakala tiga berjaya diselamatkan dan tiga kenderaan juga dapat diselamatkan daripada terbakar.

“Kebakaran itu bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dibantu jentera dan anggota daripada BBP Pasir Puteh dan Simpang Pulai, Ipoh serta satu jentera lori tangki air dari BBP Seri Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:44 PM