LOKASI pelatih UTK tenggelam. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan seorang pelatihnya tidak sedarkan diri ketika menjalani ujian renang bagi pemilihan awal pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada 10.10 pagi itu, konstabel polis berusia 25 tahun yang bertugas di Balai Polis Kota Damansara, Selangor itu dipercayai tenggelam secara tiba-tiba ke dasar kolam sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut sumber, pelatih berkenaan sedang menjalani fasa ujian renang sejak 1 hingga 8 April bagi ujian pemilihan UTK di pusat akuatik berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika ujian apungan iaitu pelatih diberi masa selama 20 minit untuk membuat apungan pada kedalaman air 2.5 meter.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai secara tiba-tiba tenggelam ke dasar kolam sebelum jurulatih yang menyedari kejadian itu menarik pelatih berkenaan keluar dari kolam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan awal namun masih tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, pelatih UTK itu masih dirawat di HRPB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:18 PM