Dua lelaki warga asing yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


DUA lelaki warga asing yang cuba menyeludup masuk ke negara ini secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/ Negeri Sembilan di perairan Kuala Linggi, Alor Gajah semalam.

Pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Ghana itu ditahan Maritim Malaysia dalam operasi rutin di kedudukan 0.1 Batu Nautika dari Kuala Linggi.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, dua PATI terbabit ditahan 5.45 pagi.

“Hasil maklumat risikan terdapat pergerakan masuk bot yang mencurigakan dari negara jiran menuju ke perairan Kuala Linggi. “Bot peronda Maritim Malaysia mengesan dan menahan bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran sepanjang 1.5 meter menggunakan enjin sangkut 60 kuasa kuda.

“Ketika ditahan, ada dua lelaki warga asing iaitu warga Bangladesh berusia 31 tahun dan warga Ghana berusia 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amran berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya menahan tekong laut di kawasan daratan selepas suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke laut.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Menurutnya, soal siasat ke atas kedua-dua PATI mendapati, bot yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui jalan tidak sah dan dipercayai datang dari Dumai, Indonesia.

“Siasatan awal ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka memasuki negara ini untuk mencari pekerjaan di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amran berkata, Maritim Malaysia melakukan 12 tangkapan PATI di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM bagi suku pertama tahun ini.

“Kami akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan terutama menjelang musim perayaan.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:10 PM