ANGGOTA polis menahan suspek. FOTO ihsan polis
Garret Dawum
garret@nstp.com.my


TUKANG kayu ditahan di Lorong Permai Barat di Sibu, semalam, kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan jam 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu diketuai Inspektor Hairul Hussin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu kira-kira jam 10 malam di Jalan Permai, Isnin lalu.

Katanya, mangsa dibawa ibunya ke rumah seorang rakan untuk berbual dan minum pada jam 4 petang.

“Pada jam 9.30 malam, ibu mangsa yang berusia 21 tahun keluar membeli makanan dan mangsa ditinggalkan dengan rakan serta suami rakan.

“Tidak lama selepas itu, wanita terbabit dihubungi rakan memaklumkan anaknya menangis dan dia bergegas pulang,” katanya.

Stanley berkata, setibanya wanita itu di rumah, dia dimaklumkan oleh rakannya bahawa suspek menonton video lucah bersama mangsa.

“Wanita itu yang tidak berpuas hati terus membawa mangsa mandi dan memeriksa kemaluannya.

“Dia terkejut apabila mendapati kemaluan anaknya merah dan ada sedikit darah. Mangsa turut memaklumkan suspek ada mencucuk kemaluannya dengan jari,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan suspek kini ditahan di lokap sementara menunggu perintah reman serta akan menjalani ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) dan 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di telefon suspek turut mendapati ada sejarah pencarian laman sesawang lucah dan mempunyai video lucah.

Difahamkan, mangsa adalah anak tunggal manakala ibu bapanya bercerai pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 4:09 PM