GAMBAR hiasan
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


LEMBAGA Peperiksaan (LP) membuka semula pendaftaran calon persendirian bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 mulai 15 April sehingga 30 April ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, LP berkata, pendaftaran SPM 2019 yang ditutup 31 Mac lalu, dibuka semula selepas menerima banyak permohonan orang ramai.

“Sehubungan dengan itu, LP membuka semula pendaftaran calon persendirian bagi peperiksaan SPM 2019 mulai 15 April hingga 30 April.

“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman web LP di alamat http://sppat.moe.gov.my,” katanya.

Katanya, urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran hendaklah dibuat melalui Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon ingin menduduki peperiksaan dalam tempoh tujuh hari selepas mengisi borang pendaftaran.

“Selain yuran peperiksaan, calon juga perlu membuat bayaran tambahan iaitu Bayaran Calon Lewat Daftar sebanyak RM30,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:48 PM