PEGAWAI Kewangan Negeri, Datuk Rahim Nin (dua dari kanan) menyampaikan cek pampasan kepada penerima sambil di perhatikan Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), John Riba Marin (kanan) serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz (kiri) selepas merasmikan Majlis Penyampaian Cek dan Taklimat Berkaitan PERKESO bagi anggota kontrak di dalam sektor Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Johor di Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


KERAJAAN Johor memperluaskan liputan perlindungan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada 1,050 penjawat awam dan badan berkanun yang berstatus kontrak.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Rahim Nin berkata, sejak berkuatkuasa pada 1 Jun 2013, ribuan penjawat awam kontrak dan sementara membabitkan pelbagai agensi perkhidmatan awam di negeri ini didaftarkan.

Beliau berkata, perluasan perlindungan keselamatan sosial itu mencerminkan kepekaan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan supaya nasib mereka dan keluarga sentiasa terbela.

“Hari ini seramai 1,050 pekerja daripada 75 agensi di Johor mengambil bahagian dan secara keseluruhannya sehingga kini, seramai kira-kira 5,000 penjawat awam sudah didaftarkan.

“Kumpulan pekerja ini tidak layak menerima pencen, namun menerusi caruman di PERKESO oleh majikan mereka, sekiranya ditimpa sebarang musibah atau kejadian tidak diingini, nasib mereka akan terbela.

“Malang tidak berbau dan kita tidak boleh menjangka sesuatu pada masa depan dan dengan adanya liputan ini, kebajikan pekerja dan waris terbela,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan cek caruman bernilai RM1.187 juta kepada Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, John Riba Marin.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Johor, Tong Sing Chuan.

Pada majlis sama, Pengarah Kesihatan negeri, DrSelahuddeen Abd Aziz turut menyerahkan cek caruman bernilai RM1.104 juta kepada John bagi liputan 950 penjawat berstatus kontrak dan sementara di 35 agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Turut disampaikan cek faedah PERKESO dan bekalan pemulihan kepada penerima faedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 1:16 PM