Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


DUA lelaki direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan peruntukan kerajaan Negeri Perak bernilai RM3.5 juta berhubung kerja-kerja pembekalan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 September tahun lalu.

Individu berkenaan membabitkan penjawat awam berusia 44 tahun berkhidmat di bahagian pentadbiran kerajaan negeri dan pengurus sebuah syarikat pengurusan majlis berusia 39 tahun.

Terdahulu kedua-dua lelaki berkenaan ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Perak 4.30 petang semalam bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Suspek memakai pakaian lokap SPRM warna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret, Ipoh, 11 pagi tadi bagi permohonan reman.

Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal di depan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Suspek pertama yang juga penjawat awam dibenarkan reman selama enam hari manakala pengurus syarikat pengurusan majlis pula direman selama lima hari dan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2019.

Menurut sumber SPRM, dua lelaki terbabit direman berhubung penyelewengan wang peruntukan kerajaan negeri bernilai RM3.5 juta berhubung kerja-kerja pembekalan sempena SUKMA Perak 2018 untuk kepentingan mereka.

“Penjawat awam itu dikatakan turut menerima rasuah yang berjumlah melebihi RM165,000 dari pembekal-pembekal yang dipilih untuk pembekalan dan sewaan bagi acara temasya sukan dwi tahunan itu.

“Seramai empat pengurus syarikat berusia antara 40 hingga 77 tahun yang turut dipercayai terbabit dalam kes penyelewengan peruntukan itu juga ditahan semalam antara jam 3 petang hingga 5 petang.

“Mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas rakaman percakapan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:30 PM
PENJAWAT awam negeri dan seorang pengurus syarikat pengurusan acara direman bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri berjumlah RM3.5 juta. FOTO/MUHAIZAN YAHYA