FOTO Hiasan.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


SEORANG akauntan dari Triang, Bera, kerugian RM95,668 selepas diperdaya sindiket ‘parcel scam’.

Terdahulu mangsa berkenalan dengan seorang lelaki disyaki menyamar sebagai anggota tentera memperkenalkan diri sebagai ‘Liegh Hester’ kononnya dari Libya.

Pada 11 Februari lalu, mangsa berusia 53 tahun menerima emel daripada lelaki berkenaan mendakwa memiliki mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD) berjumlah sembilan juta (RM37 juta).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu mangsa dia akan menghantar duit berkenaan yang diletakkan di dalam peti besi kepadanya.

“Suspek juga memberitahu penghantaran peti bitu akan diuruskan oleh syarikat kurier Lomar Shipping Limited berpangkalan di London, United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memberikan alamat rumah dan nombor telefonnya sebelum menerima panggilan daripada seorang lagi suspek mendakwa wakil syarikat kurier berkenaan.

“Namun untuk mendapatkan peti besi berkenaan, mangsa diminta melakukan pelbagai bayaran.

“Dia kemudian melakukan 12 kali transaksi ke dalam tiga akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan dibayar adalah RM95,668,” katanya.

Mohd Wazir berkata, namun hingga kini mangsa masih belum menerima peti mengandungi wang berkenaan selain gagal menghubungi syarikat kurier terbabit.

“Mangsa yang menyedari ditipu sindiket terbabit kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan memperdaya mangsa dalam urusan penghantaran peti mengandungi wang hingga memaksa wanita itu memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:04 PM