TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO/ Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PEGAWAI polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menerima wang sebanyak RM17,000 hasil aktiviti haram, dua tahun lalu.

Asisten Superintendan Md Maizaili Mohamed, 53, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang berjumlah RM17,000 daripada seorang individu melalui akaun Maybank Islamic Berhad miliknya yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad Cawangan Muar, Jalan Abdullah, Muar, antara 16 Februari 2017 hingga 15 Mei 2017.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Farez Rahman, manakala tertuduh yang masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan dan lantikan peguam pada 8 Mei ini.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan media memaklumkan penahanan pegawai kanan polis itu kira-kira jam 2.30 petang di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir untuk memberi keterangan.

Menurut SPRM, tertuduh dipercayai menerima wang berjumlah RM17,000 hasil aktiviti haram membabitkan kegiatan perjudian di sekitar Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:18 AM