WAKIL penduduk, Mat Hassan (dua dari kiri) bersama sebahagian daripada 60 peniaga kecil tepi jalan Lembah Sireh membuat bantahan.
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


KIRA-kira 60 peniaga kecil tepi jalan di Lembah Sireh di sini, didakwa dihalang menjalankan perniagaan mereka oleh pihak pemaju di kawasan itu.

Halangan yang diterima bukan setakat akan dirobohkan gerai, malah binaan besi dipasang di sepanjang jalan sejauh 200 meter yang menjadi lokasi jualan peniaga yang sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk di Kampung Sireh.

Wakil penduduk, Mat Hassan Daud, 50, berkata, pemaju memberi alasan tapak perniagaan adalah milik mereka sedangkan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kebenaran kepada mereka menjalankan perniagaan.

“Pada Februari lalu, pihak berkuasa tempatan (MPKB-BRI) sudah mengeluarkan lesen kepada semua peniaga ini untuk berniaga.

“Peniaga turut berkongsi modal dan berhabis hampir RM14,000 untuk kerja menimbun tanah di sebelah lokasi jualan yang juga adalah tanah rizab kerajaan bagi menutup longkang serta membersihkan semak.

“Mereka kini dalam proses memasang bekalan elektrik untuk peniaga yang ingin berniaga sehingga waktu malam malah peralatan bagi pemasangan elektrik pun disediakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mat Hassan berkata, lebih seminggu lalu peniaga tidak boleh menjalankan perniagaan kerana binaan besi dipasang dan keadaan itu dirasakan menganiaya peniaga kecil.

Menurutnya lagi, pada awalnya, halangan yang dibuat pemaju hanya meletakkan kon dan mengarahkan peniaga menghentikan jualan tapi selepas itu halangan semakin agresif kerana masih ada peniaga yang berniaga.

“Mereka (wakil pemaju) mengugut akan merobohkan gerai dan yang terbaharu memasang besi sepanjang tapak berniaga menyebabkan peniaga langsung tidak boleh meletakkan gerai.

“Saya sudah menghantar surat kepada PBT dan meminta mereka menyelesaikan masalah ini dengan pihak pemaju tapi sehingga kini masih tiada maklum balas,” katanya.

Seorang peniaga ‘Nasi Bajet’, Azlina Muhammad, 34, berkata, dalam masa sebulan berniaga semuanya aman sebelum mereka didatangi wakil pemaju Lembah Sireh.

“Mereka bertindak menghalau peniaga dan tidak membenarkan kami berniaga di tapak itu dengan alasan tapak itu milik mereka.

“Mereka juga mengugut jika kami tidak berpindah, tindakan bakal diambil termasuk akan merobohkan gerai serta mencederakan kami,” katanya sambil mengeluh peniaga kini sudah lebih seminggu terputus sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:00 AM