PESERTA ekspedisi Dayungan Nostalgia Rekreasi Rinduku dan Rindumu. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


LAZIMNYA pelbagai kaedah dilakukan seseorang untuk bertemu semula guru atau rakan yang terpisah termasuk mengadakan majlis makan malam atau reunion.

Namun, keadaan berbeza bagi persatuan Real Solo Kayaking yang memilih untuk berkayak selama tiga hari dua malam di perairan Selat Melaka sejauh 150 kilometer (km).

Kumpulan lapan pendayung kayak memulakan ekspedisi Dayungan Nostalgia Rekreasi Rinduku dan Rindumu sempena memperingati sambutan Hari Polis ke-212.

Lebih mengujakan, ekspedisi itu turut disertai Persatuan Kenu Perak dan Persatuan Rekreasi dan Pendakian Perak.

Diketuai pendayung solo negara, Nadzeri Mustaffa, 55, enam daripada mereka bertolak dari Pos Pasukan Gerakan Am (PGA), Pantai Sungai Lang, Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, hari ini.

Sementara, dua lagi pendayung, Murad Mohd Kassim, 50, dan Muhammad Ridzuan Abdul Rahman, 20, bertolak dari Jeti Nelayan Bagan Selat Pancor, Pantai Remis, Perak.

Mereka akan menamatkan dayungan di Pantai Teluk Senangin, Manjung, Perak, Jumaat ini.

Nadzeri yang juga pengasas Real Solo Kayaking berkata, objektif utama ekspedisi itu bertujuan memperingati bakti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga keselamatan rakyat negara ini.

“Selain itu, ia bakal menemukan semula dengan jurulatih rekreasi pertama negara, Mejar Yusuf Abdullah yang terpisah sejak 33 tahun lalu.

“Bagi saya, beliau (Yusuf) adalah individu yang bertanggungjawab memberi pendedahan mengenai ilmu rekreasi kepada ribuan peminat rekreasi tempatan sejak 1980-an.

“Malah, dengan cara ini (berkayak), ia akan mengembalikan nostalgia kami, selain usaha mempromosi dan menyemarakkan semula aktiviti rekreasi air terutama kepada golongan belia,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Majlis pelepasan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon dan Pegawai Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Selangor Asisten Superintendan Mazre Che Mahmod.

Nadzeri yang berpengalaman berkayak lebih 30 tahun berkata, ekspedisi itu bukan kali pertama disertainya dan dia pernah berkayak sejauh kira-kira 5,000 km di seluruh negara.

“Saya pernah berkayak secara solo Januari 2014 dari Pantai Remis di Perak ke Gua Kerbau di Kodiang sejauh 600 km, selain beberapa lokasi lain termasuk mengelilingi Semenanjung Malaysia.

“Namun, saya berharap semua peserta kayak berjaya tiba di Perak tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 8:33 PM