Produk kesihatan dan ubat-ubatan yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


ENAM belas tan produk kesihatan dan ubat-ubatan bernilai RM2.9 juta yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam beberapa serbuan sekitar negeri itu semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, dalam Op Khing 2 itu, pihaknya merampas produk terbabit selepas disyaki mengandungi racun berjadual.

Menurutnya, serbuan dilakukan di sebuah premis kedai ubat Cina dan tiga premis rumah kedai dua tingkat tiada papan tanda serta sebuah rumah kediaman masing-masing di Bukit Mertajam dan Georgetown.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sarawak berikutan rampasan produk tidak berdaftar di negeri itu.

“Operasi yang dilakukan ini turut membabitkan 62 penguat kuasa farmasi Pulau Pinang, Kedah, Perlis serta Perak dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia serta lima anggota polis,” katanya di Georgetown hari ini.

Dr Wan Mansor berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengesan pihak lain yang terbabit dan menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar hubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pulau Pinang di talian 04-2292319.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 8:12 PM