BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat hari ini.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul hari ini, Mohamed Azmin akan mencadangkan hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan yang dilaksanakan oleh FELDA.

“Ia termasuk anak syarikat serta prestasi kewangannya termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah, pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan,” katanya.

Kertas putih itu juga mengusulkan dewan meluluskan dan merestui usaha kerajaan untuk melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian FELDA seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bilangan 6 Tahun 2019.

Penstrukturan semula pinjaman FELDA dan anak syarikatnya juga menjadi satu daripada hala tuju strategik pemulihan agensi itu yang diberi tumpuan dalam laporan interim Kertas Putih.

Turut dijangka disebut ialah kegagalan FELDA mengurus keuntungan hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd atau kini FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2012, sehingga terpaksa menanggung hutang besar dengan institusi kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:01 PM