Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


HANYA kerana perselisihan faham menyebabkan lelaki mengamuk dan mengejar peniaga mi di sebuah kedai kopi di Jalan Padang Serai, Kulim dengan parang minggu lalu.

Bagaimanapun perbuatan lelaki berusia 36 tahun itu mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Bagan, Padang Serai 12.30 tengah hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, kejadian itu berlaku 10 pagi 2 April lalu apabila mangsa berusia 21 tahun berniaga mi di depan kedai sebelum didatangi suspek yang mengugutnya dengan parang panjang.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan melarikan diri ke dalam kedai kopi itu namun suspek tetap tidak berpuas hati dan mengugut ingin memukulnya dan mengajaknya memanggil rakan untuk bergaduh.

“Kekecohan itu berlaku 15 minit sebelum suspek beredar dan mangsa yang trauma kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim.

“Susulan itu, usaha mengesan suspek dijalankan sebelum dia ditahan hari ini dan soal siasat motif lebih kepada masalah peribadi dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, polis turut merampas sebilah parang yang diguna ketika mengugut mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:15 PM