Kenderaan rasmi Menteri Besar Johor memasuki kediaman rasmi di Saujana 7.30 malam tadi namun difahamkan Osman tiada dalam kenderaan itu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
BERNAMA

DATUK Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam adalah Menteri Besar dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri ini iaitu tidak sampai 11 bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene 12 Mei lalu susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei.

Osman ketika dilantik adalah Setiausaha PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar.

Pada PRU lalu, PH memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN yang mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi sekali gus mendapat mandat parti itu membentuk kerajaan negeri.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman mendapat 2,321 undi.

Pengerusi PH Johor dan Bersatu Johor itu pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Osman sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam dan Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri terlalu singkat, Osman adalah Menteri Besar yang agak kontroversi.

Sebaik dilantik beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan PH tidak akan memberi sebarang peruntukan kepada ADUN pembangkang di Johor, berbeza dengan pendirian PH di peringkat pusat yang mahu memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun, Osman kemudian menjelaskan hasrat awal kerajaan negeri untuk tidak menyalurkan peruntukan pembangunan kepada pembangkang adalah keputusan yang belum lagi dimuktamadkan.

Awal tahun ini pula, beberapa portal berita dari Singapura mendakwa Osman memasuki perairan negara itu ketika lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura 9 Januari lalu dan laporan itu disangkal Osman.

Singapura mendakwa Osman menceroboh perairan wilayahnya dan mengemukakan bantahan melalui nota diplomatik kepada Wisma Putra pada 11 Januari dan meminta penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan 14 Januari.

Februari lalu, Osman turut terpalit isu sijil palsu sebelum mengakui beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di Kolej Pertanian Malaya yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Osman turut menjelaskan yang beliau tidak tahu mengenai beberapa laman sesawang yang mengatakan dirinya berkelulusan diploma dan ijazah perakaunan daripada UPM.

Berita berkaitan

'Dia mahu letak jawatan, kami terima' - PM

MB Johor letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 8:29 PM