Lima kenderaan curi yang dirampas di Machang Bubok, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


TAK kerja, hisap dadah dan mencuri. Itu ‘pakej’ empat lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Machang Bubok, Bukit Mertajam semalam.

Dalam Op Sarang bermula 10.30 pagi itu, mereka berusia 21 hingga 32 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan penagihan dadah di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah itu polis menemui syabu 1.28 gram bernilai RM384 dan peralatan menghisap dadah.

Menurutnya, polis juga turut menemui pelbagai peralatan mencuri kenderaan dan siasatan lanjut mendapati semua suspek mengaku melakukan kegiatan itu di sekitar daerah SPT.

“Suspek turut membawa polis ke lokasi mereka menyimpan kenderaan curi terbabit dan kita berjaya menemui kembali lima kenderaan masing-masing sebuah lori, pacuan empat roda dan tiga kereta.

“Mereka tidak bekerja dan turut memiliki rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek mencuri kenderaan terbabit dan menjualnya dengan harga murah untuk membeli bekalan dadah.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya dan semua suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:31 PM