REVOLVER milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditemui pemandu lori. FOTO Tular Media Sosial.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEPUCUK revolver .38 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan hilang pada 2010 ditemui pemandu lori sampah di Jalan Tahar 1, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada 12.50 tengah hari yang memaklumkan penemuan senjata api itu.

“Revolver itu ditemui pemandu lori sampah ketika sedang menjalankan kerja pembersihan di tepi jalan berkenaan.

“Dia memaklumkan pistol berkenaan berada dalam plastik sampah,” katanya hari ini.

Beliau berkata, senjata api itu berada dalam bungkusan plastik warna merah jambu dan ditemui di atas rumput di tepi jalan.

Katanya, pemeriksaan dalam bungkusan itu mendapati terdapat satu sarung pistol warna hitam bersama sepucuk revolver .38 S&W spl dengan tulisan nombor siri tidak jelas.

“Dalam kebuk ada empat butir peluru dan hasil penelitian mendapati senjata api itu tidak lagi sempurna, sudah berkarat dan tidak boleh berfungsi,” katanya.

Menurutnya, pistol dipercayai milik PDRM itu kemudian dirujuk ke Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk semakan nombor siri.

“Hasil semakan nombor siri pistol itu berjaya ditimbulkan iaitu J 789702.

“Semakan melalui sistem mendapati ada laporan polis kehilangan senjata api itu yang dibuat Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada 2010,” katanya.

Shahurinain berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960 dan pistol terbabit diserahkan kepada IPD Kulai untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:51 PM