BANGUNAN Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali kedua, hari ini.

Pembentangan pindaan itu berkaitan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Ia bagi meminda Perkara 1 (2) untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul-Usul hari ini, RUU berkenaan sepatutnya dibentangkan selepas perbahasan RUU Levi Pelepasan 2019 yang dibacakan kali kedua.

Bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming memaklumkan kepada Sidang Dewan Rakyat bahawa RUU berkaitan pindaan Perlembagaan itu akan dibacakan kali kedua hari ini.

RUU itu akan dibahas sebelum diluluskan sekiranya memperoleh sokongan dua pertiga ahli dewan atau minimum 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

Kewibawaan Dr Mahathir akan diuji pada sesi itu apabila ketika ini beliau memiliki sokongan 139 Ahli Parlimen iaitu kurang sembilan daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pembentangan RUU berkenaan minggu lalu mendapat bantahan daripada Ahli Parlimen pembangkang, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah Sarawak.

Ahli Parlimen pembangkang mahu RUU pindaan itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk kajian menyeluruh dan menolak dibuat secara tergesa-gesa.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg dipetik berkata, tiada kelulusan diberikan oleh pihaknya dan Sabah berhubung pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dalam bentuknya sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 3:40 PM