Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SINDIKET penyeludupan rokok menggunakan van khas yang diubahsuai untuk membawa masuk bahan tembakau tidak bercukai itu ke negara ini.

Modus operandi terbaru sindiket berkenaan dikesan hasil serbuan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, di kawasan perindustrian Taman Johor, Kempas, Johor Bahru, 2 pagi, semalam.

Dalam serbuan itu polis merampas 205 kotak rokok disyaki tidak bercukai berbalut plastik hitam, diseludup dari negara jiran.

Rokok berkenaan diletakkan di bawah tempat duduk van yang sudah diubah suai, sekali gus memperlihatkan kenderaan itu seolah-olah kosong.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, sebuah lori tiga tan mencurigakan terlebih dulu dikesan di lokasi berkenaan.

“Kira-kira 10 minit kemudian van berkenaan muncul dan diparkir bersebelahan lori terbabit. Kemudian kelihatan dua lelaki iaitu pemandu van dan lori memunggah kotak dibungkus plastik hitam disyaki berisi rokok dari van ke dalam lori.

“Menyedari kehadiran polis, dua lelaki itu kemudian melarikan diri dan dikejar polis sejauh 100 meter, seorang terjatuh dan ditahan,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Johor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad.

Paul berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas dua kenderaan itu menemui 205 kotak rokok tidak bercukai bersamaan 102,500 paket pelbagai jenama yang mana 40 kotak berada di dalam van dan selebihnya di lori berkenaan.

Beliau berkata, semua rokok yang dianggar bernilai lebih RM1.61 juta ini dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kenderaan dirampas membabitkan, lori, van dan Proton Wora milik pemandu lori sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM1.75 juta.

“Semua barang rampasan termasuk tiga kenderaan itu dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Johor untuk tindakan lanjut, manakala suspek yang juga pemandu van berusia 30 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU.

“Hasil semakan, suspek ditahan adalah individu dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pecah rumah, hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati dia positif Methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:15 PM
PAUL (kiri) dan Mohd Taib (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenama yang tidak bercukai dirampas. FOTO Mohd Azren Jamaludin