MOHMAD (kanan) menandatangani plak perasmian Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Rantau Abang di Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SOROK dadah pada badan dan dalam ruang khas bagasi antara taktik paling popular digunakan pengedar yang menyeludup dadah ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pengedar dadah terbabit menggunakan pelbagai kaedah dan helah bagi mengelirukan pihak berkuasa, namun semuanya berjaya dihidu.

“Dalam kejadian terbaharu, kami mengesan dadah dibungkus dalam bungkusan tertulis ‘boarding pass’ syarikat penerbangan.

“Kami mempunyai kepakaran sendiri mematahkan segala helah dan usaha mereka. Malah, ada antara dadah diseludup dalam bentuk cecair sebelum dijemur dan dikeringkan.

“Namun atas usaha semua agensi dadah antarabangsa, kami berjaya mematahkan kegiatan haram mereka itu,” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Pantai Timur di Rantau Abang di Dungun, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Mohmad berkata, pengedar dan penyeludup dadah sentiasa mengubah modus operandi mereka mengikut kesesuaian masa dan suasana.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha mengesan taktik dan helah mereka dan tidak akan beri ruang mereka menyeludup dadah masuk ke negara ini, ” katanya.

Sementara itu, Mohmad berkata, dadah jenis methamphetamine, syabu, ice dan eramin 5 antara dadah paling popular di negara ini.

Beliau berkata, dadah tradisional seperti candu, ganja, heroin dan air ketum masih digunakan penagih di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:33 AM