Lokasi kejadian penuntut Nigeria ditetak rakan senegara. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PENUNTUT Nigeria cedera selepas ditetak rakan senegara dalam pergaduhan di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam 1 pagi.

“Kejadian itu dilaporkan wanita yang mengatakan terdapat pergaduhan di jalan berkenaan.

“Lelaki terbabit ditetak beberapa orang yang tidak pasti sehingga cedera,” katanya.

Rusdi berkata, mangsa mengalami luka di belakang kepala, dua kesan torehan di belakang badan dan menerima enam jahitan di bahagian hidung.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Siasatan berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video berhubung insiden berkenaan tular di laman sosial sejak pagi tadi menunjukkan lelaki berkenaan diserang.

Video berdurasi 2 minit 40 saat itu dirakam lelaki yang berada di tingkat atas sebuah bangunan.

Lelaki berkenaan ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan lelaki dipercayai rakan senegaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:40 PM