Dr Mohd Azraai (dua kanan) bersama Md Farid (tiga kanan) dan Patimah yang mewakili anak mereka hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


“SEBAK ketika berada di pentas apabila mengenangkan arwah anak sepatutnya berada di sini mengambil diplomanya selepas tiga tahun belajar,” kata Lans Koperal Md Farid Hassan, 52.

Md Farid bapa kepada Mohd Ridwan, 21, naik ke pentas menerima diploma daripada Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Mohd Azraai Kassim mewakili arwah anaknya itu yang menerima Diploma Bangunan.

Mohd Ridwan yang juga anak bongsu daripada dua beradik meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dengan lori ketika menunggang motosikal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan 19 November lalu.

Menurut Md Farid, pada mulanya dia dan isteri, Patimah Siro, 54, tidak sanggup menghadiri konvokesyen itu tetapi menguatkan semangat untuk hadir juga.

“Sepanjang perjalanan dari rumah di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Negeri Sembilan ke sini terasa sangat sayu... sukar saya nak cakap kerana terlalu sebak,” katanya.

Pasangan suami isteri itu ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-90 UiTM Cawangan Perak di Dewan Seri Iskandar, Kampus Seri Iskandar hari ini.

Patimah berkata, dia memilih memakai baju kurung hitam yang dipilih dan dibelikan arwah anaknya itu sebelum ini sempena konvokesyen anak sulungnya, Md Firdaus, 24, tahun lalu.

“Arwah belikan saya baju ini dengan duit simpanannya dan beritahu selepas ini kami akan buat persiapan untuk konvokesyen dia pula, namun hajat itu tak kesampaian.

“Walaupun dia tiada bersama kami namun perasaan sedih itu tetap ada malah saya menggigil melihat suami naik ke pentas mengambil diploma tadi, namun kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Mengimbas kejadian yang menimpa arwah anaknya itu, Patimah berkata, suaminya menerima panggilan daripada IPD Kuala Pilah yang meminta mencari waris mangsa kemalangan di kawasan terbabit namun luluh hatinya apabila mangsa itu adalah anaknya.

Katanya, kejadian menimpa anak bongsunya yang disifatkan anak taat dan ceria serta sangat meminati kerjaya sebagai pegawai polis berlaku lima hari selepas konvokesyen anak sulungnya.

“Pagi sebelum kejadian arwah peluk saya lama dan sempat pakai baju seragam bapanya kerana arwah minat kerjaya polis...itu kenangan terakhir kami selain diploma yang diterima hari ini,” katanya.

Seramai 1,587 graduan menerima diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing membabitkan pelbagai bidang sepanjang dua hari konvokesyen berlangsung yang berakhir esok.

Pada majlis itu juga, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hadir meraikan anaknya, Amirah Sakinah Acryl Sani yang menerima Diploma Pengurusan Hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:58 PM