BATU dipercayai digunakan untuk mengentak mangsa. FOTO
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


HANYA kerana dituduh mencuri beras, seorang lelaki menerima tujuh jahitan di kepala selepas dihentak menggunakan batu oleh adik kandungnya dalam kejadian di Kampung Kopungit, di Kota Kinabalu, kelmarin.

Mangsa lelaki berusia 51 tahun ditemui terbaring oleh anak perempuannya berusia 15 tahun di luar rumah mereka dengan berlumuran darah kira-kira 5 petang.

Pada masa sama, anak mangsa melihat suspek yang beredar dari belakang rumah meninggalkan mangsa.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis, jam 8.50 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan mendapati suspek berusia 49 tahun datang ke rumah abangnya dalam keadaan marah dan menuduh mangsa mencuri beras.

“Ketika itu berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek yang tidak puas hati bertindak memukul kepala mangsa menggunakan batu yang besar sebanyak dua kali.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah dan menerima tujuh jahitan di kepala, manakala suspek terus beredar dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, susulan kejadian itu, suspek berjaya ditahan di hadapan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 8.50 malam hari sama.

“Polis turut merampas sebiji batu yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah dan turut mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan lima kes narkotik dan kes mendatangkan kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 3:14 PM