TERTUDUH (tengah) dibawa ke mahkamah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BAPA kepada enam anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan mencabul bekas isterinya.

Tertuduh berusia 61 tahun dari Marang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 45 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan di sebuah rumah di Marang, jam 12 tengah hari pada 4 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh datang ke rumah mangsa atas alasan untuk membaiki rumah sebelum dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh.

Pasangan berkenaan dikatakan sudah bercerai hampir tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 2:59 PM