KANAK-kanak Orang Asli yang dijangkiti penyakit kulit. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

PENYAKIT kulit bersisik dan gatal kini semakin merebak kepada penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Aring 5, dekat Gua Musang, sejak sebulan lalu.

Mereka yang dijangkiti penyakit itu termasuk empat dewasa dan enam kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun berikutan kerap berulang ke Kampung Kuala Koh.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang, 47, berkata, penyakit itu paling serius berlaku di Kampung Kuala Koh membabitkan lebih 150 orang setakat ini.

Beliau berkata, penduduk kampung ini turut dijangkiti penyakit itu kerana mereka asalnya tinggal di Kampung Kuala Koh.

“Apabila mereka pindah dan tinggal di kampung ini, penyakit itu mula menjangkiti penduduk lain tetapi setakat ini masih terkawal.

“Kampung kita belum lagi tahap peringkat serius dan kita menggalakkan mereka menerima rawatan di klinik berhampiran, dan masih belum terlambat untuk berbuat demikian,” katanya.

Raina turut bimbang jangkitan penyakit itu boleh merebak kepada lebih ramai penduduk Orang Asli lain jika tidak ada rawatan segera.

Guru Agama Islam Orang Asli Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mahmok, 31, berkata, masalah yang dihadapi sekarang bukan penduduk yang enggan menerima rawatan.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak terbabit belum melakukan gerakan bagi merawat penduduk terbabit sama ada di Kampung Kuala Koh atau Kampung Aring 5.

“Saya yang mengajar agama Islam terpaksa mendidik mereka di dua kampung itu menjaga kebersihan diri sebagaimana dituntut agama,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kira-kira 120 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, dekat Gua Musang, diserang penyakit kulit bersisik dan berkudis sejak tiga bulan lalu.

Mereka yang diserang penyakit misteri itu membabitkan 30 keluarga berusia antara dua hingga 30 tahun.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan penyakit kulit yang dihidapi Orang Asli berkenaan berpunca daripada jangkitan kulat atau fungal.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin dipetik berkata, mereka tidak menolak kemungkinan penduduk kampung itu dijangkiti fungal jenis Tinea Imbricata mahupun Tinea Corporis.

Berita berkaitan

Sedia dirawat

Jangkitan kulat rupanya...

120 Orang Asli diserang penyakit misteri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 2:37 PM