PELAJAR optometri memeriksa mata seorang kanak-kanak gelandangan menggunakan peralatan khas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@metro.com.my


“MATA dah kabur (rabun dekat). Tak boleh baca buku, tapi saya tiada duit nak buat cermin mata,” itu luahan sedih kanak-kanak gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Elya, 11.

Masalah kanak-kanak itu bagaimanapun mendapat perhatian sekumpulan penuntut tahun empat, Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila menganjurkan program membantu golongan kurang berkemampuan di Pusat Transit Gelandangan, Lorong Medan Tuanku 2, Chow Kit, semalam.

Khidmat masyarakat itu memberi fokus membantu kanak-kanak gelandangan yang berdepan masalah penglihatan serta memerlukan cermin mata.

Ketua program terbabit, Wilskin Lau Pick Xiang berkata, program membabitkan 26 penuntut serta dua pensyarah dan tiga pengawai optometrist.


BILIK pemeriksaan dilengkapi peralatan klinikal.

Menurutnya, objektif program itu adalah untuk menolong orang kurang berkemampuan, gelandangan dan fakir miskin di sekitar ibu kota.

“Sasaran kami kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun. Kami menjalankan pemeriksaan mata dan kanak-kanak yang ada masalah rabun diberikan cermin mata percuma.

“Kami mendapat kerjasama alumni optometri iaitu Prisma Optometri, Milliniuem Optometri dan Chaw Optometri sebagai penaja bingkai manakala kanta disumbangkan syarikat Hoya. Sarung tangan dan pelindung muka pula disumbangkan KPJ Sentosa KL,” katanya.

Menurutnya, program dianjurkan bermanfaat untuk golongan kurang berkemampuan yang dipinggirkan masyarakat.


PROGRAM Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan UKM berlangsung di Pusat Transit Gelandangan, Lorong Medan Tuanku 2, Chow Kit, semalam.

“Kami mahu beri harapan dan masa depan kepada kanak-kanak ini. Masalah rabun pasti menjejaskan proses pembelajaran dan mengehadkan aktiviti mereka.

“Kami menyediakan peralatan klinikal dalam bilik khas untuk pemeriksaan. Kanak-kanak itu diambil data peribadi sebelum menjalani pemeriksaan. Seramai 41 kanak-kanak menjalani pemeriksaan dan sebahagian daripadanya menghadapi masalah rabun,” katanya.

Menurutnya, program bermula sekitar jam 7 malam hingga 11 malam itu berjaya susulan sambutan diterima.

“Walaupun program ini memfokuskan kanak-kanak namun masih ada gelandangan dewasa mengharapkan bantuan dan mahu menjalani pemeriksaan mata,” katanya.


KANAK-KANAK gelandangan menjalani ujian menganggar jarak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:31 AM