PENUNTUT Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) Lumut, Muhammad Zaffan Baharuddin, 27, ditemui lemas selepas berenang di muara Sungai Dinding. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“SAYA mengenalinya sejak diploma lagi dan yang saya tahu dia seorang yang pandai berenang, mungkin ketika kejadian itu dia kekejangan.

“Kami akan menamatkan pengajian peringkat ijazah pada Jun ini dan kehilangan arwah sangat dirasai kerana dia seorang sahabat yang baik, ceria dan banyak memberi sokongan kepada rakan lain,” kata rakan Muhammad Zaffan Baharuldin, 27, yang hanya mahu dikenali sebagai Naim, 25.

Mayat Muhammad Zaffan yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) Lumut yang dilaporkan lemas semalam ketika mandi di muara Sungai Dinding di Sitiawan itu berjaya ditemui 12.50 tengah hari, hari ini.

Mayat Muhammad Zaffan ditemui kira-kira 1.52 meter dari lokasi mangsa dikatakan tenggelam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Difahamkan, ketika kejadian, penuntut semester akhir itu dipercayai sedang mandi dan berenang di sungai berkenaan dan kejadian itu berlaku di dalam kawasan kampus berkenaan.

Muhammad Zaffan dipercayai datang ke sungai itu bersama tiga rakannya dan difahamkan ketika kejadian dua rakannya dikatakan sedang memancing, manakala seorang lagi duduk di tepi muara.

Menurut Naim, ketika kejadian, dia tidak berada di lokasi kejadian dan hanya mengetahui kejadian itu pada 6.40 petang daripada rakan-rakannya.

“Selepas mengetahui rakan saya itu lemas, saya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihatnya, mayat rakan saya akhirnya berjaya ditemui tengah hari ini dan kehilangannya amat dirasai,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, mayat mangsa timbul dan terapung kira-kira 30.5 meter dari kawasan tebing sungai berkenaan.

“Bomba menggerakkan operasi SAR sejak malam tadi selepas menerima panggilan kecemasan pada 7 malam, semalam dengan menumpukan pencarian di permukaan lokasi mangsa dikatakan tenggelam.

“SAR pagi ini turut disertai anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor yang membuat selaman di lokasi kejadian sejak 8.30 pagi tadi sebelum mangsa ditemui pada 12.50 tengah hari,” katanya.

Katanya, selain BBP Sitiawan dan PPDA Pulau Pangkor operasi itu turut dibantu pihak polis, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudiannya ditamatkan 1.30 tengah hari.

Operasi SAR pagi ini turut disertai Dekan UniKL MIMET, Profesor Madya Dr Mohd Yuzri Mohd Yusop; Timbalan Dekan Akademik dan Teknologi, Dr Khairul Anuar Mat Saad dan Timbalan Dekan International, Industrial & Institutional Partnership ( IIIP), Samsol Azhar Zakaria.

Berita berkaitan

Penuntut UniKL MIMET dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 4:59 PM