PESERTA menuruni bukit ketika melalui Kuala Kelawang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019. FOTO Rosdan Wahid
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


BEBERAPA jalan di daerah Kuala Muda akan ditutup pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam berkata, laluan akan ditutup bermula 9.30 pagi sehingga 11 pagi membabitkan laluan bermula dari sempadan Bertam di Kilometer 73 iaitu di Jambatan Merdeka sehingga ke Kilometer 33 iaitu di kaki Gunung Jerai di Gurun.

“Antara laluan yang ditutup adalah Jalan Alor Setar-Butterworth, Jalan Lencong Timur di lampu isyarat Padang Temusu dan Jalan Lencong Barat di lampu isyarat berdekatan pasar raya Giant.

“Jalan lain adalah Jalan Sungai Layar iaitu di lampu isyarat Badlishah, Jalan Lencong Timur (lampu isyarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda), Jalan Lencong Barat (lampu isyarat Tol Utara), Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau (lampu isyarat Sungai Lalang), Jalan Bedong-Semeling (lampu isyarat Bedong) dan Jalan Gurun-Jeniang (lampu isyarat Gurun).

“Jalan-jalan serta lorong-lorong di sepanjang laluan LTdL turut ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara laluan alternatif yang boleh digunakan untuk ke Sungai Petani dari arah utara iaitu melalui Lebuhraya Utara Selatan dengan memasuki Tol Sungai Petani Utara ke Jalan Lencong Timur dan Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.

“Dari arah selatan pula boleh melalui Lebuhraya Utara Selatan dengan memasuki Tol Sungai Petani Selatan seterusnya melalui Jalan Taman Sejati Indah, Jalan perkilangan Bakar Arang dan Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.

“Sekiranya dari arah Semeling-Bedong, bolehlah melalui Jalan Semeling, Jalan Lencong Barat dan juga Jalan Sungai Layar,” katanya.

Katanya, bagi pengguna jalan raya dari arah Baling, boleh melalui Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, manakala pengguna dari Tikam Batu boleh melalui Jalan Bukit Berapit ke Jalan Sungai Pasir, Jalan Lencong Barat dan Jalan Penghulu Him.

Menurutnya, pergerakan kenderaan berat tidak dibenarkan di kawasan sepanjang laluan LTdL dan lencongan akan dibuat oleh pihak polis.

“Orang awam juga dilarang sama sekali untuk meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan sepanjang laluan LTdL bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Laluan LTdL akan dibuka dan lencongan akan dibuat oleh petugas trafik sehingga peserta LTdL selesai melalui laluan itu.

“Laluan juga akan dibuka semula selepas semua acara perlumbaan selesai ke sempadan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan jalan terbabit.

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi Trafik Kuala Muda di talian 04-4232222 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Muda di 04-4236999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 3:45 PM