PENDUDUK dan penuntut UTM di samping hasil makanan dan baja daripada sisa makanan sempena Program Penghasilan Kompos Nutripot Untuk Komuniti 2019. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki

HAMPIR 100 penduduk Pekan Nanas, Pontian menyertai Program Penghasilan Kompos Nutripot Untuk Komuniti 2019 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Muafakat Taman Sentosa, semalam.

Program selama sehari itu bertujuan berkongsi teknik penghasilan baja kompos dan penanaman nutripot yang juga kaedah terbaik untuk mengurangkan kos sara hidup khususnya penduduk kawasan bandar.

Teknik penanaman menggunakan sistem ‘3R’ iaitu pengurangan, guna semula dan kitar semula menjimatkan kos pengendalian, proses pembuatannya nampak mudah namun jika tidak mengikut aturan baja yang dihasilkan secara tradisional ia kurang memberi kesan pada sayur yang ditanam.

Pensyarah UTM, Salina Ardi berkata, teknik tanaman berkonsepkan ‘Pertanian Bandar’ itu dapat membantu penduduk mengurangkan perbelanjaan dapur.

Katanya, pengguna hanya memerlukan bekas atau tong plastik untuk diisi bahan terbuang secara berlapis, lapisan pertama menggunakan daun kering, daun segar (kedua), sisa makanan (ketiga), tanah hitam atau tanah bakar (keempat) dan seterusnya direnjis dengan tiga jenis air iaitu air basuhan beras, gula merah dan air dadih (yogurt).

“Semua bahan itu perlu diperap dan ditutup rapat selama sebulan hingga ia menjadi air yang keluar dari paip di bawah tong berkenaan. Ia sesuai digunakan sebagai baja bayur-sayuran.

“Melalui kaedah ini, ia tidak memerlukan ruang atau tanah luas serta pengunaan baja yang dihasilkan menggunakan sisa makanan dapat menjimatkan kos.

“Aktiviti pertanian kaedah nutripot dalam kalangan masyarakat bandar dapat memanfaatkan sisa makanan dan pada masa sama mengurangkan jumlah sampah yang dibuang di tempat pelupusan sampah,” katanya yang mengetuai rombongan 30 penuntut UTM dalam program itu.

Penduduk Taman Sentosa Indah, Pekan Nanas, Nur Khaliesah Mohd Fauzi, 18, berkata program itu membuka minda dan peluang kepada peserta khususnya di kawasan bandar untuk meningkatkan pendapatan.

“Kami dapati ia bukan saja menjimatkan kos malah penduduk boleh bercucuk tanam di kawasan kecil. Ia memang sesuai dengan penduduk kawasan bandar yang tinggal di kawasan terhad.

“Selain itu, ia dapat mendorong remaja dan kanak-kanak mengisi masa lapang dengan melakukan perkara berfaedah dan mungkin menanam minat menjadi pengusaha satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, wakil rasmi Ahli Parlimen Tanjung Piai, Rosman Tahir berterima kasih dengan pengurusan UTM yang sanggup meluangkan masa untuk berkongsi kaedah nutripot kepada penduduk.

Katanya, pertambahan penduduk meningkatkan jumlah sampah di tapak pelupusan sampah dan ia perlu ditangani semua pihak, bukannya tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Menerusi program ini, kami berharap ia dapat membantu mengurangkan pembuangan sampah terutama sisa makanan kerana ia boleh dijadikan baja untuk menanam sayur.

“Kerajaan berusaha mengurangkan kos sara hidup masyarakat dan pertanian alternatif seperti jenis pertanian bandar antara salah satu usaha dilakukan selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 1:59 PM