MUZAFAR bersama rakan sukarelawan ketika ekspedisi Yong Yap Bubu Tok Nenek yang dijalankan sempena memperingati kehilangan Hassan Ayat
Redzuan Muharam dan Iqhram Ahmad
am@hmetro.com.my


“KALI pertama dan terakhir kami bertemu adalah pada sidang warga gunung kira-kira tiga bulan sebelum dia hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian berkenaan.

“Kami sempat berbual mengenai pelbagai perkara dari tengah malam hingga pagi berikutnya dan walaupun baru berkenalan, saya kagum dengan caranya berfikir, “ kata Presiden Persatuan Mencari dan Menyelamat Malaysia (MOSARS), Muzafar Mohamad, 43.

Muzafar adalah seorang sukarelawan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat Hassan Ayat, peserta ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menuruni gunung berkenaan pada 15 Februari 2009 dan masih gagal ditemui sehingga kini.

Menceritakan semula pengalamannya, Muzafar berkata, dia tahu mengenai kehilangan Hassan daripada jurumalim, Roshamrizal Zahari dan seorang daripada peserta ekspedisi berkenaan.

Katanya, sebaik menerima maklumat itu, dia terus mengumpulkan sukarelawan untuk memulakan misi pencarian dengan membahagikan kepada dua kumpulan.

“Ketika itu, saya bersama tujuh lagi sukarelawan dan memandangkan zon pencarian agak luas, kami ambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan, satu di Kampung Kuala Rengil, manakala carian lokasi kedua di Sungai Siput.

“Misi berkenaan mengambil masa sebulan dan sepanjang tempoh itu, kami bergilir-gilir mencari di lokasi kebarangkalian menjadi laluan Hassan.

“Antara petunjuk ditemui ketika misi pencarian seperti bekas tapak kasut, kesan tumbuhan yang cuba dimakan selain kawasannya bermalam, namun setakat itu saja menyebabkan kami terpaksa menamatkan misi pencarian selepas sebulan kerana mengikut arahan pihak berkuasa selain kekangan dari segi kos.

“Namun, kami ada tinggalkan makanan, lilin, mancis dan pesanan di beberapa lokasi seperti Kem Hassan, kem Balak Pecah, kem Agas dan puncak gunung dengan harapan ia dapat membantunya,” katanya.

Menurut Muzafar, walaupun misi pencarian dihentikan ketika itu, ekspedisi mencari dan menyelamat Hassan diteruskan setahun kemudian sempena memperingati kehilangan Hassan.

Katanya, ekspedisi dikenali Yong Yap Bubu Tok Nenek (YYBTN) itu diteruskan sehingga tahun keempat membabitkan sukarelawan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat edisi pertama.

“Operasi mencari dan menyelamat itu sebenarnya berjaya menyatupadukan kelompok pendaki gunung yang sebelum ini tidak kenal, malah ada yang bermusuhan.

“Selain itu, MOSARS juga ditubuhkan susulan kehilangan Hassan dan saya percaya, ia adalah hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurumalim Roshamrizal Zahari, 46, atau lebih dikenali dengan nama Sham Castello berkata, tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang dia dan ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap bersama Hassan.

Cuma, Roshamrizal berkata, Hassan mempunyai masalah lutut ketika perjalanan turun dari puncak dan memberi izin kepada rakannya untuk dipintas.

“Ketika naik ke puncak, saya berada di hadapan sekali dan menjadi orang terakhir (sweeper) ketika perjalanan turun.

“Apabila sampai di Kem Agas, baru saya dan rakan lain menyedari kehilangan Hasan dan itu kali pertama saya berdepan dengan pengalaman itu.

“Tiada perkara pelik pun cuma dia (Hassan) berjiwa seni jadi karakter dia lain sikit, tetapi dia seorang yang baik dan walaupun berada di dalam hutan, dia tidak lalai untuk menunaikan solat,” katanya.

Kisah hilang di Bukit Broga

“Saya lihat seorang kanak-kanak perempuan memakai jubah putih sebelum mengikutnya dan kami tiba di kawasan gua yang lapang dan berpasir.

“Saya langsung tidak takut, malah di situ ada tiga lagi individu berpakaian sama dengan kanak-kanak berkenaan. Ia berlaku sekelip mata, tiba-tiba saja saya sampai di gua terbabit, saya juga lihat seorang lelaki dan seorang wanita yang saya percaya ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan,” kata Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 22.

Mohd Azarul Mukhriz adalah lelaki yang pernah hilang di Bukit Broga, Semenyih pada 22 Janurari 2017 sebelum ditemui semula seminggu selepas itu dalam keadaan selamat.

Kisah kehilangan Mohd Azarul Mukhriz yang pada ketika itu berusia 20 tahun menggemparkan negara kerana dikaitkan dengan kisah mistik dan alam bunian.

Berkongsi pengalamannya ketika itu, Mohd Azarul Mukhriz berkata, kejadian berlaku ketika dia mendaki bukit bersama lima individu lain sebelum disedari hilang oleh majikannya yang turut menyertai pendakian.

“Ketika mendaki hanya saya seorang yang tiba di puncak bukit dan ketika menunggu rakan yang lain di puncak saya terlihat kanak-kanak itu sebelum mengikutnya. Seingat saya kejadian itu berlaku pada jam 6.30 petang.

“Mereka boleh berkomunikasi dengan saya. Seorang wanita iaitu kakak kepada kanak-kanak berkenaan bertanya sama ada saya ingin berkahwin dengannya,”katanya.

Menurutnya, dia menolak lamaran wanita itu dan meminta mahu pulang untuk bertemu ibu dan ayahnya.

“Ketika itu saya hanya ingat ibu dan ayah saya, muka dia (wanita) dalam keadaan marah ketika saya menolak lamarannya.

“Rutin kehilangan saya adalah mengaji dan solat. Saya tidur, makan dan minum di dalam gua berkenaan, mereka bagi saya makan buah-buahan hutan. Pada waktu pagi mereka kejut saya untuk solat dan mengaji,”katanya.

Menurut Mohd Azarul Mukhriz, pada hari terakhir kehilangannya iaitu ketika dia sedang tidur, ada seekor ular jatuh ke badannya dan meminta dia mencari cahaya matahari sebagai jalan keluar.

“Saya kemudiannya terlihat cahaya matahari sebelum mendengar suara pelancong asing dan sudah berada di batu di bahagian puncak berkenaan.

“Saya diselamatkan oleh tiga individu, secara tiba-tiba badan saya lemah dan langsung tidak berdaya sedangkan ketika berada bersama mereka saya dalam keadaan sihat,”katanya.

Menurut Mohd Azarul Mukhriz, dia kini menjalankan perniagaan di pasar malam dan tinggal di Puchong.

“Selepas kejadian saya pergi berubat dengan perubatan Islam dan Alhamdulillah saya kini sudah pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Itu pengalaman yang saya tidak akan lupakan, namun saya segan untuk bercerita kepada orang lain yang menganggap perkara ini karut sedangkan saya sendiri yang mengalaminya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 1:46 PM