Nurul Izzah (dua dari kiri) melepaskan burung dan merasmikan Karnival Rakyat Permatang Pauh hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
Muhammad Yusri Muzamir
am@hmetro.com.my


AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memaklumkan keputusan kembali menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) dibuat berdasarkan dua fator utama.

Beliau berkata, ia membabitkan reformasi struktur dan keseimbangan pengagihan kuasa bagi mewujudkan elemen semak dan imbang yang lebih berkesan dan menyeluruh menerusi kepemimpinan kerajaan dan pembangkang.

“Keputusan kembali menganggotai PAC dibuat selepas berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan mendapat kelulusan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

“Struktur jawatankuasa PAC yang berperanan untuk membolehkan semak imbang berlangsung adalah amat penting buat kepentingan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Rakyat di Permatang Pauh hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin.

Sebelum ini, Nurul Izzah dilapor melepaskan jawatan sebagai ahli PAC, dikatakan kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan jawatankuasa itu, pada 22 Mac lalu.

Ia selepas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nurul Izzah turut menafikan dakwaan beliau membuat pusingan U apabila kembali menganggotai PAC, sebaliknya menegaskan sedia berkhidmat jika jawatankuasa itu memiliki struktur yang jelas.

“Sudah tentu saya sedia membantu melunaskan proses ini selagi ada struktur jelas. Pada saya, yang penting untuk pastikan adanya semak imbang.

“Dewan Rakyat adalah badan yang akan memastikan bidang legislatif dapat berfungsi dengan baik.

“Akhirnya apa-apa pun yang mahu dilakukan, ia perlulah berteraskan elemen berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diumumkan Dr Mahathir semalam.

“Sangat penting untuk kita mengadakan perbincangan menyeluruh, khususnya Malaysia adalah negara majmuk. Ia perlu dibincangkan ikut etika sepatutnya, turutan dan keperluan.

“Saya sentiasa berpandangan positif tetapi kita juga perlu jelas dengan aspek penentu selain strukturnya perlu diutamakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:26 PM