GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman

PERSATUAN Pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 200 aduan berkaitan penipuan siber membabitkan kerugian berjumlah lebih RM1 juta sepanjang tahun lalu.

Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, aduan berkenaan adalah antara 647 aduan pelbagai jenis antaranya membabitkan penipuan telekomunikasi, pinjaman tidak wujud dan lain-lain lagi.

Katanya, penipuan terbabit dijalankan oleh individu atau syarikat yang tidak sah serta banyak mensasarkan individu yang berusia 50 tahun ke atas berikutan golongan usia berkenaan dikatakan mudah terpedaya serta tidak begitu meluas dalam penggunaan sosial media.

“Ada yang rugi sehingga RM100,000 seorang. Mereka menggunakan duit simpanan untuk membeli barang yang ditawarkan contohnya membeli kereta melalui laman web terkemuka. Ada juga warga emas mengeluarkan duit dari dalam peti besi yang disimpan sekian lama selepas mempercayai ‘janji’ manis si penjenayah siber.

“Mereka datang membuat aduan dan apabila siasatan dilakukan dengan kerjasama polis, penipu ini dikatan banyak beroperasi di kawasan Selangor dan Pulau Pinang. Hanya satu dua kes saja yang kita berjaya selesaikan dan duit dikembalikan, yang lain lesap begitu saja,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan CAKE di Alor Setar, hari ini.

Hadir bagi merasmikan majlis itu ialah Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah (KPDNHEP), Mohd Fitri Hassan.

Turut hadir adalah Presiden CAKE, Datuk Yusoff Ismail.


MOHAMAD Yusrizal (kiri) bersama Yusoff (tengah) yang menerima memorandum aduan daripada seorang pengguna, Hamzah Rejab, 60, selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan CAKE. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Mohamad Yusrizal yang juga Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), berkata, aduan yang diterima turut membabitkan sistem pesanan ringkas (SMS) lima digit daripada syarikat telekomunikasi.

Katanya dalam tempoh tiga bulan tahun ini sahaja pihaknya sudah terima 24 aduan termasuk aduan SMS yang secara langsungmenolak baki kredit (prabayar) atau dicaj secara automatik kepada pengguna.

“Pihak saya sudah bermesyuarat dengan syarikat telekomunikasi supaya pantau keadaan ini. Ia merugikan pengguna yang hilang baki kredit tanpa mereka sedari, dalang sebalik penipuan ini harus di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 2:12 PM