FOTO hiasan
Erika George
cnews@nstp.com.my


SATU sindiket curi motosikal di daerah Bintulu tumpas susulan penahanan tiga lelaki tempatan dalam Operasi Lejang, di kawasan Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, sindiket aktif sejak beberapa bulan lalu ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan.

“Tiga suspek lelaki tempatan berusia 18 hingga 34 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam, semalam.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap salah seorang suspek menemukan satu enjin motosikal dan pelbagai komponen kenderaan itu yang sudah dileraikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata, semakan mendapati, komponen berkenaan diambil daripada sebuah motosikal dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada 24 Mac lalu.

“Semakan dilakukan turut mendapati dua daripada suspek ditahan memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:56 PM