NELAYAN asing dan bot pukat tunda yang digunakan. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


EMPAT nelayan termasuk seorang juragan warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan perairan Laut Sungai Udin, Tawau, pagi semalam.

Bot nelayan itu dikesan sepasukan anggota bot ronda PCS 6 menerusi Ops Gelora yang dijalankan di perairan itu, kira-kira 10.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan itu menjalankan aktiviti memukat tunda di kawasan larangan iaitu kurang satu batu nautika dari pantai ketika diperiksa.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati empat lelaki termasuk juragan masing-masing berusia antara 30 hingga 40 tahun berada di atas bot dan sedang leka menangkap ikan.

“Semua suspek kemudian ditahan dan bot pukat tunda serta hasil tangkapan kira-kira 50 kilogram ikan dibawa ke markas operasi PPM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:04 PM