KAWASAN kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng. FOTO Farizul Hafiz Awang
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


KILANG memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) boleh meneruskan operasi dengan syarat tambahan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, syarat berkenaan adalah bahan mentah yang dibawa masuk ke negara ini perlu dibersihkan radioaktifnya terlebih dahulu supaya tidak berbahaya.

“Berkenaan dengan Lynas, kami mengenakan syarat tambahan untuk mereka membersihkan terlebih dahulu sisa radioaktif supaya bahan mentah yang dibawa ke Malaysia tidak berbahaya.

“Lynas berjanji pada masa depan mereka akan membersih, memecah dan mengurangkan beberapa bahan radioaktif dalam kandungan bahan berkenaan sebelum dihantar ke negara ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini Menteri Alam Sekitar Australia, Melissa Price mengesahkan menerima surat daripada Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis yang Malaysia meminta Australia menerima 450,000 tan metrik sisa daripada kilang Lynas yang beroperasi di sini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kertas siasatan mengenai dakwaan kononnya Cawangan Khas (SB) Bukit Aman bertanggungjawab ‘menculik’ aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo akan dibuka.

Bagaimanapun beliau berkata, kes itu akan dibuka selepas Ketua Polis Negara baharu dilantik.

“Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dan mengkaji laporan penuh inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) jika ada asasnya,” katanya.

Beliau mengulas inkuiri awam suruhanjaya itu yang mendakwa pembabitan polis berikutan kehilangan dua individu terbabit.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, kerajaan sedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagaimanapun sedang menunggu laporan penuh inkuiri awam berkenaan.

Katanya, selain itu penubuhan RCI itu tertakluk kepada persetujuan pendakwa raya selepas mengkaji keperluan untuk menubuhkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:38 PM