Ifwan Tun Tuah
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 171,500 premis di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara empat loji rawatan air.

Ia berikutan air Sungai Johor dikesan mengandungi paras ammonia tinggi sejak kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerosakan kolam takungan di sebuah pusat bio komposit di sebelah kilang kelapa sawit di Sedenak, Kulai, yang menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir ke Sungai Sayong dan Sungai Johor.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, operator air Ranhill SAJ Sdn Bhd terpaksa menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sayong, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUBTai Hong.

“Kelmarin, kandungan ammonia yang tinggi dikesan di Sungai Johor yang menjadi sumber air mentah keempat-empat LRA itu. Penutupan LRA terbabit menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 171,500 akaun pengguna.

“Susulan itu, operator air menghantar bantuan bekalan menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas termasuk Hospital Dialisis Sultanah Aminah serta menyediakan tempat pengambilan air di Jalan Susur 6, Tun Razak, Bandar Seri Alam C, Taman Universiti dan Taman Legenda Putra, Kulai,” katanya.

Jurucakap itu juga berkata, tiga LRA sudah beroperasi semula hari ini kecuali LRA PUBTai Hong yang dijangka beroperasi semula malam ini justeru bekalan air dijangka pulih secara berperingkat.

Katanya, SPAN akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain menyiasat kejadian pencemaran ammonia di Sungai Johor itu mengikut Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:09 PM