HABSAH menunjukkan gambar Arisa. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


“KELMARIN kakak ada cakap dia takut dan minta jangan tinggalkannya seorang diri, namun saya hanya anggap itu hanya gurauan,” kata Habsah Abdul Aziz, 42.

Habsah adalah ibu kepada Arisa Safina Aminuddin Awang, murid tahun empat yang maut dilanggar van sekolah di kawasan Apartmen Seri Teluki, Bukit Sentosa semalam.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang lebih mesra dipanggil kakak disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Habsah ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka itu petanda anak sulungnya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

“Dia (Arisa) memang suka bergurau dengan bercakap perkara seumpama itu, menyebabkan saya tidak sangka perkara begini akan terjadi.

“Namun saya reda dengan apa yang berlaku dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian ini” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Habsah berkata, ketika kejadian dia serta suami masing-masing sedang bekerja sebelum mendapat panggilan daripada polis memaklumkan mengenai kemalangan membabitkan anaknya.

Katanya, anak sulungnya itu seorang yang pendiam dan lebih banyak bercakap apabila bersama rakan-rakannya dan lebih rapat dengan ayahnya.

“Selepas balik sekolah Arisa dan adiknya yang berada di Tahun Satu tinggal di rumah anak saudara saya.

“Saya akan mengambilnya pulang sebaik pulang dari kerja jam 8 malam, dan saya amat terkejut ketika polis memaklumkan kejadian,” katanya.

Habsah berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung sebelum solat Jumaat hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pemandu van berkenaan iaitu wanita berusia 56 tahun sudah dibebaskan hari ini.

Katanya, wanita itu dibebaskan susulan polis hanya memperoleh tempoh reman satu hari daripada mahkamah dan selesai merakam keterangannya.

Berita berkaitan

Murid Tahun 4 maut dilanggar van

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:03 PM