Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


KERAJAAN negeri Johor menutup sebuah kilang sawit yang mencemarkan Sungai Sayong, Kulai dengan sisa ammonia kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahrudin Jamal berkata, tindakan tegas itu diambil berikutan pencemaran yang berlaku mengganggu aktiviti harian ribuan penduduk berikutan terputus bekalan air.

“Kami tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan yang mana kerajaan negeri sudah mengambil tindakan menutup sebuah kilang sawit yang mencemarkan Sungai Sayong, Kulai dengan sisa ammonia.

“Pencemaran ammonia dari pusat biokomposit bersebelahan kilang kelapa sawit di Sedenak akibat ban takungannya pecah menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

“Kejadian itu menimbulkan kesulitan kerana mengakibatkan gangguan bekalan air membabitkan ribuan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim Johor di Johor Bahru, hari ini.


DR Sahruddin (depan) melepaskan ikan ke dalam sungai ketika majlis Program Ekspedisi Penyelidikan Hulu Sungai Chat. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Dr Sahrudin berkata, beberapa Loji Rawatan Air (LRA) termasuk (LRA) Sayong 1, LRA Sayong 2, LRA Semanggar dan LRA Sungai Johor sudah mula beroperasi, namun LRA Tai Hong masih menghentikan kerja memproses air mentahnya.

Menurutnya, pada masa sama, pemantauan standard operasi kira-kira 60 kilang sawit di negeri ini akan dilipat gandakan sebagai langkah mengelak kes pencemaran alam sekitar.

Dr Sahrudin berkata, pengusaha kilang sawit yang gagal melupuskan sisa pembuangan mengikut standard ditentukan akan dikenakan tindakan termasuk kompaun dan operasi syarikat ditutup.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan sedaya upaya menangani pencemaran yang berlaku dan memantau kesemua operasi kilang sawit di negeri ini.

“Pada 7 Mac lalu, berlaku pencemaran akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, manakala tiga minggu lalu berlaku pencemaran sisa pepejal dari tapak pelupusan di Sungai Benut dan kini di Sungai Sayong pula.

“Isu pencemaran dipandang serius kerana ia bukan saja mengakibatkan negara menanggung kerugian kerana membiayai kos pemuliharaan malah menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 4:01 PM