Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil serbuan di Pasar Borong Selayang, Selangor, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua suspek ditahan hasil operasi bersepadu dilaksanakan bermula 5 pagi.

Katanya, menerusi operasi terbabit, seramai 94 pegawai dan anggota dari JIM Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dikerahkan untuk menggempur PATI di kawasan terbabit.

“Operasi di Pasar Borong Selayang ini adalah yang ketiga dilaksanakan oleh JIM pada tahun ini yang memfokuskan warga asing yang berniaga dan bekerja di kawasan pasar berkenaan serta mengambil tindakan terhadap majikan yang menggajikan atau melindungi pati.

“Hasil serbuan kita memeriksa seramai 150 individu dan daripada jumlah itu 107 ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 79 warga asing terbabit adalah pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) daripada Myanmar di dapati bekerja di pasar borong berkenaan.

“Manakala selebihnya adalah warga Bangladesh dan Indonesia yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan permit,” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Selayang, di sini, hari ini.

ANTARA pendatang asing yang ditahan ketika Operasi Jabatan Imigresen di Pasar Borong Selayang. FOTO Asyraf Hamzah

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang ketara di kesan menerusi operasi terbabit adalah membabitkan warga asing memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di sektor perkilangan yang menyalahgunakan pas berkenaan dengan bekerja di pasar borong.

Katanya, semua suspek berusia 20 hingga 50 tahun terbabit di bawa JIM WPKL untuk pemeriksaan lanjut.

“Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah isu baru, namun ramai tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai kawasan berkenaan.

“Malah ada antara kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan.

“Justeru, selain pelaksanaan operasi, Imigresen turut menempatkan pegawainya di kawasan pasar borong untuk tujuan pemantauan secara berkala.

“Imigresen akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani isu-isu berkaitan PATI,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga semalam, JIM sudah melaksanakan 1,094 operasi di sekitar pasar borong, pasar malam dan premis-premis perniagaan seluruh negara menerusi Op Jaja dan Op Belanja.

Jelasnya, menerusi operasi terbabit seramai 4,592 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan 930 pati ditangkap membabitkan pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:44 AM