GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


REMAJA lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh kereta di Kampung Parit Ali Kalang, di Bagan Serai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa Muhammad Khairi Rozali, 15, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah.

Mangsa yang tidak lagi bersekolah dan berkerja sendiri menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari arah Parit Haji Taib 3, menuju ke Bagan Serai.

Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian hadapan kereta jenis Corolla Altis yang dipandu wanita berusia 33 tahun.

Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba selepas itu.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kenderaan terbabit kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 8:58 AM