KAKITANGAN Cawangan Perlindungan Sumber Pejabat Perikanan Negeri Kedah memeriksa bangkai ikan lumba-lumba berkenaan. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


BANGKAI ikan lumba-lumba pula ditemui terdampar di Alor Ibus, Jalan Kuala Tebengau, di Alor Setar, semalam.

Pegawai Penyelidik Perikanan, Ketua Cawangan Mamalia Marin FRI Rantau Abang Dungun, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ia ditemui kira-kira tujuh kilometer dari penemuan bangkai paus spesies Paus Bryde yang ditemui terdampar semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lumba-lumba itu adalah spesis empesut Irawadi Dolphins atau nama saintifiknya, Orcaella Brevirostris dengan ukuran panjang 2.5 meter (m), ukur lilit 1.2 meter (m) dan anggaran berat 250 kilogram dan jenis betina dewasa.

“Belum pernah lagi berlaku dua jenis ikan spesies ini terdampar serentak pada hari sama namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, bangkai seekor ikan paus spesis Paus Bryde ditemui terdampar oleh seorang pencari ketam di tepi pantai Kuala Sala, Yan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada bapa saudaranya.

Paus yang berukuran panjang 3.9 m, ukur lilit 2.62 m dengan anggaran berat 1.5 tan, jantina betina masih lagi anak itu dipercayai mati di kawasan itu sejak empat hari lalu berikutan ketika ditemui perutnya sudah terburai.

Dalam pada itu, Pejabat Perikanan Negeri Kedah dan FRI Rantau Abang sedang dalam proses bedah siasat untuk menentukan punca kematian.

Menurut rekod terdahulu dari Jabatan Perikanan Malaysia, Paus Bryde ini pernah terdampar mati di Pantai Pulau Sayak, Kedah pada Februari 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:13 AM