GAMBAR hiasan
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


PEKEBUN ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Marak Parak, Kota Marudu, semalam.

Mayat Mastan Komong, 50, ditemui penduduk kampung 4.30 petang dengan kesan tetakan di pergelangan tangan, belakang leher dan dagu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mayat ditemui penduduk kampung di kawasan berhampiran kebun mangsa dalam keadaan terlentang.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi turut menemui parang yang digunakan suspek untuk menetak mangsa.

“Hasil soal siasat dan keterangan daripada saksi, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa berkaitan paip air.

“Seorang saksi lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan melihat suspek menunggang motosikal secara laju keluar dari arah lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mohd Izaan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan pendarahan akibat luka tetakan dari objek tajam.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:17 AM