ANGGOTA APM melihat keadaan siling bumbung rumah mangsa yang rosak dipukul ribut di Taman Tunku Maheran.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“MAK cik nampak pusaran angin itu bergulung dari arah sawah di hadapan rumah dan belum sempat berbuat apa-apa ia bergerak laju sebelum menerbangkan bumbung rumah ini,” kata penduduk Kubang Pasu, Manih Chat, 73.

Menurutnya, ketika itu dia duduk seorang diri dan hanya mampu menjerit beberapa kali sebelum hujan mencurah-curah masuk ke dalam rumah selepas bumbung diterbangkan angin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, ribut yang melanda kawasan Kubang Pasu menyebabkan 14 rumah di empat kawasan mengalami kerosakan dan sebahagian daripadanya diterbangkan bumbung.

Antara kawasan terbabit termasuklah Kampung Paya Lateh, Kampung Paya Keriang Menyabung, Kampung Paya Pulau Dudur dan Taman Tunku Maheran.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa disebabkan kebanyakan penduduk sempat berlindung di tempat selamat dalam rumah ketika hujan lebat melanda.

Manih berkata, kejadian ribut itu terlalu pantas tetapi bunyi deruan angin kencang itu sangat kuat hingga dia membayangkan kejadian buruk akan berlaku ketika itu.

“Ketika itu saya hanya teringatkan arwah cucu yang baru meninggal dunia kira-kira lima bulan lalu akibat kemalangan jalan raya di Kepala Batas, Jitra ketika hujan.

“Mak cik tidak henti berdoa supaya Allah menyelamatkan saya dan penduduk di sini kerana kejadian ini amat menakutkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Seorang lagi penduduk, Azizan Ani, 64, berkata, dia terdengar bunyi seperti letupan kuat di atas rumah sebelum menyedari tingkat atas rumahnya yang diperbuat daripada kayu hampir roboh ditolak angin kencang.

Menurutnya, ketika itu dia bersama sembilan ahli keluarga termasuk isteri, tiga anak dan lima cucunya berada dalam rumah berkenaan sewaktu hujan lebat.

“Pusaran angin itu lalu di bahagian atas dan meranapkan rumah saya sehingga menyebabkan sebatang pokok ramai patah dua,” katanya.

“Ketika itu, saya nampak satu persatu atap zink rumah diterbangkan angin sehingga ke belakang rumah,” katanya.

Azizan berkata, walaupun barang tidak banyak yang rosak tetapi sebahagian daripadanya basah akibat hujan lebat yang masuk mencurah-curah.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Kawasan Jitra Hassanudin Samsuddin turut menziarahi semua mangsa yang terbabit dalam kejadian ribut itu untuk mengetahui kerosakan yang dialami mereka.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kubang Pasu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Kubang Pasu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu dan beberapa agensi lain turun padang untuk memberi bantuan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:30 AM