ISMADI (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditahan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


TIDAK puas hati menjadi punca seorang lelaki dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam bungkusan plastik lut sinar berhampiran sebuah kedai di Bandar Kinrara, Serdang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, hasil siasatan pihaknya berjaya mengesan dua lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 30-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan

“Hasil maklumat diperoleh, kami menahan dua lelaki terbabit kira-kira jam 2 pagi semalam di Taman Lestari Perdana. Soal siasat terhadap suspek mendapati seorang daripada mereka mengaku memukul mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 30-an itu menggunakan objek tumpul di rumah sewa mereka di Taman Lestari Perdana pada 31 Mac lalu.

“Suspek kemudian membungkus mayat menggunakan beberapa lapisan kain dan plastik sebelum dibawa menaiki ‘Grab’ ke lokasi penemuan mayat berkenaan pada tengah malam kelmarin. Jarak rumah sewa itu dengan lokasi penemuan mayat dianggarkan sejauh kira-kira 10 kilometer,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek bekerja sebagai buruh binaan itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang juga rakan sekerja serta rakan serumahnya berkaitan isu di tempat kerja.

“Berdasarkan keterangan suspek, dia membunuh mangsa sebab tidak puas hati mengenai masalah di tempat kerja. Selepas membuang mayat, suspek bersembunyi di rumah suspek kedua di Taman Lestari Perdana iaitu kira-kira 500 meter dari rumah sewa mangsa sebelum ditahan.

“Dengan penahanan suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh kurang 48 jam,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 2 hingga 8 April bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat tanpa identiti berhampiran sebuah kedai di Bandar Kinrara, di sini, kelmarin.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mati dibunuh, 2 ditahan bantu siasatan

Mayat dalam plastik hitam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:20 PM